8 termasuk 4 wanita ‘kantoi’ berpesta dadah di kondominium

8 termasuk 4 wanita ‘kantoi’ berpesta dadah di kondominium

Polis menahan lapan individu termasuk empat wanita warga asing dipercayai terlibat dalam pesta dadah di sebuah kondominium di Jalan Lestari, di sini semalam.

Serbuan kira-kira pukul 6 petang oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di tingkat 10 kondominium tersebut dilakukan selepas mendapat makluman awam.

Ketika serbuan, kesemua suspek dikatakan sedang berhibur dengan bunyi alunan muzik kuat serta meminum jus campuran dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, selain empat wanita warga asing, turut ditahan dalam serbuan itu ialah tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Jelas beliau, siasatan mendapati kediaman itu disewa oleh salah seorang suspek lelaki sejak setahun lalu dan kesemua mereka hadir ke kondominium tersebut bersama pasangan dan kenalan untuk berhibur.

“Pemeriksaan di dalam kediaman tersebut menemukan pelbagai jenis dadah termasuk pil Eramin 5, pil ekstasi, jus campuran dadah serta syabu yang dipercayai untuk kegunaan mereka.

“Hasil ujian air kencing turut mendapati tujuh daripada mereka positif dadah dan kita turut merampas peralatan sistem audio dan lampu disko,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu jelas beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka menjadikan kediaman sewa itu sebagai lokasi berhibur ekoran pusat hiburan tidak beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit berbahaya); Sek. 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sek. 15(1)(a) akta yang sama.

“Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berkaitan parti berkenaan selain mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai dalam menyampaikan maklumat kegiatan jenayah kepada pihak polis,” katanya.

Sumber | UM