4 hari terperangkap dalam perigi, budak 11 tahun teruskan hidup ditemani ular, katak

4 hari terperangkap dalam perigi, budak 11 tahun teruskan hidup ditemani ular, katak.
Hanya ditemani ular dan katak, itulah yang dilalui oleh seorang kanak-kanak lelaki bagi meneruskan hidup selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam 80 kaki (24 meter).
Difahamkan, kanak-kanak yang dikenali sebagai Rahul Sahu itu terjatuh ke dalam perigi berkenaan ketika bermain di halaman belakang rumahnya yang terletak di daerah Janjgir-Champa di Chhattisgarh, India.
Rahul yang berusia 11 tahun itu juga mengalammi masalah pertuturan dan pendengaran telah terperangkap di dalam perigi tersebut selama empat hari.
Dalam misi menyelamatkan Rahul, pasukan penyelamat terpaksa menggali terowong selebar beberapa kaki di sebelah telaga berkenaan.
Usaha menyelamat juga beberapa kali terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk dan penemuan haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking ketika proses penggalian terowong tersebut.
Namun, selepas 105 jam berusaha, Rahul akhirnya berjaya ditarik keluar dari perigi berkenaan pada 11 malam Selasa lalu.
Rahul segera dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans yang telah bersedia di tempat kejadian.