30 Ahli Parlimen BN dipanggil menghadap Agong esok

30 Ahli Parlimen BN dipanggil menghadap Agong esok

Selepas bertemu pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), istana seterusnya akan memanggil 30 ahli parlimen BN untuk menghadap pada 10.30 pagi esok.

Ia bagi Yang di-Pertuan Agong menentukan siapa yang paling berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen, mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda mengulangi titah agar rakyat terus bertenang.

“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baru dan pelantikan bakal perdana menteri ke-10 selesai.

Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air tercinta,” kata kenyataan pihak istana.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim menghadap Agong.

Muhyiddin kemudian mendedahkan bahawa Agong mencadangkan kerajaan campuran antara PH dan PN, namun ditolak oleh presiden Bersatu itu.

Katanya, PN telah membuat keputusan daripada awal untuk tidak bekerjasama dengan PH.

“Apa tujuan sekali pun tak setuju,” kata Muhyiddin.

Pengerusi PN itu juga berkata dia menandatangani surat tidak bersetuju dengan pembentukan kerajaan perpaduan.

“Inilah pendirian kami,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Sementara Anwar yang ditemui pemberita selepas sesi menghadap di Istana Negara berkata Agong belum membuat keputusan hari ini dan baginda memberi sedikit masa lagi.

Agong belum membuat keputusan hari ini.

Anwar turut menyatakan keyakinan dia akan memperoleh majoriti mudah.

“Buat masa ini, tidak timbul persoalan untuk membentuk kerajaan minoriti.

“Kerajaan yang ditubuhkan sepatutnya mewakili semua kaum dan semua wilayah. Ini bermakna inklusif dalam semua aspek.

“Saya bersyukur dan mengalu-alukan semangat kerajaan perpaduan yang kebetulan saya sebutkan semalam.

“Jadi saya telah menerima pandangan baginda untuk memberi kita sedikit masa dan memberi pertimbangan serta kebijaksanaan untuk memutuskan perkara ini,” katanya.

30 Ahli Parlimen BN dipanggil menghadap Agong esok