3 pengikut kumpulan ‘Wali Tujuh’ ditahan

3 pengikut kumpulan ‘Wali Tujuh’ ditahan

3 pengikut kumpulan ‘Wali Tujuh’ ditahan. Tiga pengikut kumpulan “Wali Tujuh” yang membawa ajaran ilmu batin dan kebal ditahan Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam serbuan di sebuah rumah pekerja di Ladang Bukit Keram, Kinabatangan, semalam.

3 pengikut kumpulan ‘Wali Tujuh’ ditahan

Tiga lelaki berkenaan yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan untuk siasatan lanjut oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, kerana disyaki terbabit dengan kegiatan ajaran meragukan.

Komander ESSCOM, Hamzah Ahmad, berkata susulan penahanan suspek terbabit, beberapa barang peribadi milik salah seorang individu iaitu kalender putikaan, pisau, senjata jenis lastik dan pelbagai jenis tangkal dirampas.

Katanya, berdasarkan risikan awal, kumpulan ini diketuai oleh seorang guru dengan dibantu dua individu.

“Kumpulan ini mula bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dengan membawa ajaran ilmu batin dan kebal yang telah berkembang pantas.

“Kumpulan ajaran ini juga menarik minat penyertaan pekerja ladang khususnya warga asing di sekitar Lahad Datu dan Kinabatangan,” katanya dalam kenyataan.

Hamzah berkata, pada waktu ini, kumpulan terbabit mempunyai seramai 20 pengikut terdiri daripada warga asing yang merupakan pekerja ladang di sekitar daerah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran atau dakyah baharu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.

Katanya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu dan kumpulan yang sengaja mengganggu gugat ketenteraman awam dan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).