3 ditahan bakar, cabut bendera, minta wang perlindungan

3 ditahan bakar, cabut bendera, minta wang perlindungan

Kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat semakin ‘panas’ apabila provokasi individu tertentu terhadap parti semakin berleluasa.

Perkara ini dapat dilihat apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 21 kertas siasatan berhubung kesalahan semasa berkempen PRU15 dibuka sejak 5 November lalu sehingga semalam.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, sepanjang tempoh itu juga, tiga individu ditahan kerana membuat kekacauan sepanjang kempen berlangsung.

Kata beliau, sebanyak empat kertas siasatan dibuka di Pahang, Sabah, Sarawak manakala tiga di Pulau Pinang.

“Selain itu, masing-masing satu kertas siasatan dibuka di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan harian hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, kes pertama yang ditahan melibatkan seorang lelaki kerana disyaki membakar bendera parti politik di Jalan Penyiaran 2 Taman Universiti Skudai, Johor dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Hazani berkata, kes kedua melibatkan laporan daripada seorang pengadu yang mendakwa seorang lelaki meminta wang perlindungan di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan Jalan PJS 1/52, Petaling Utama, Selangor pada pukul 4.30 petang.

“Suspek meminta pengadu wang perlindungan sebanyak RM2,500 sekiranya mahu mendirikan khemah dan berkempen di lokasi tersebut.

“Suspek turut mengugut, jika pengadu tidak membayar wang, dia bersama rakannya akan membuat kacau di khemah tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Tambah beliau, kes ketiga melibatkan laporan daripada seorang pengadu yang mendakwa beberapa individu datang ke rumahnya untuk memaklumkan mereka mencabut bendera parti DAP yang dipasang oleh pengadu di Kampung Main Road Perai, Pulau Pinang.

Jelas beliau, salah seorang lelaki daripada kumpulan itu memarahi pengadu kerana memasang bendera DAP di tempat tersebut serta mengaku mereka adalah gengster.

“Mereka terus menyerang dan memukul pengadu dengan menggunakan topi keledar sehingga mengakibatkan mangsa cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,”ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Hazani berkata, statistik harian merekodkan sebanyak 1,301 permit ceramah dikeluarkan PDRM di di 14 kontinjen di seluruh negara.

“Kontinjen tertinggi permit dikeluarkan iaitu Sabah dengan 344, disusuli Sarawak (215) dan Selangor (119). Sebanyak lapan ceramah tanpa permit pula direkodkan secara keseluruhan,” katanya.

3 ditahan bakar, cabut bendera, minta wang perlindungan