3 dalang utama kes bunuh antara 6 ditahan

3 dalang utama kes bunuh antara 6 ditahan

Kuala Lumpur: Polis menahan enam individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang ditemukan mati dipercayai ditetak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Intan Baiduri, Kepong bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, semua suspek berusia antara 24 hingga 42 tahun ditahan sekitar Lembah Klang semalam, menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan seramai sembilan orang.

“Hasil siasatan juga mendapati tiga daripada suspek yang ditahan bertanggunjawab dan terbabit dalam kes ini. Motif pembunuhan adalah berkaitan aktiviti pengedaran dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah kini direman tujuh hari sehingga 12 Disember depan dan dengan penahanan itu, kes berkenaan berjaya diselesaikan.

Beh berkata sebelum ini, pihaknya menahan tiga lelaki pada hari kejadian iaitu 25 November lalu dan mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kejadian pada 10 pagi, seorang lelaki berusia 21 tahun ditemui mati dengan kesan tetakan oleh orang awam sebelum melaporkan insiden itu kepada polis.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/650282/3-dalang-utama-kes-bunuh-antara-6-ditahan