3 beradik mati bersama

3 beradik mati bersama

Tiga beradik lelaki mene­mui ajal selepas kereta Perodua Axia yang dipandu ibu mereka merempuh sebuah lori di Kilometer 272.4, Lebuh Raya Uta­ra-Selatan arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, tiga beradik yang maut ialah Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafiz, 7, dan dua adiknya, Muhammad Lutfi Hakim, 3, serta Muhammad Affan Hafiy berusia satu tahun yang tersepit di dalam kereta yang remuk tersebut.

Ibu mereka, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, yang cedera parah kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Di dalam kereta itu, satu dokumen berkaitan kes syariah di Mahkamah Rendah Syariah di Melaka antara Nur Aimi Nadiah dengan seorang individu lelaki turut ditemui.

Kereta Perodua Axia itu pula dipercayai telah disewa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, kemala­ngan ketika hujan itu dipercayai berpunca daripada kereta yang dipandu Nur Aimi Nadiah terbabas sendiri sebelum melanggar belakang sebuah treler di lorong kecemasan.

Menurutnya, sebelum kemalangan itu berlaku, sebuah treler membawa muatan barangan elektronik yang sedang dalam perjalanan ke Pulau Pinang telah merempuh belakang sebuah lori membawa baja kelapa sawit.

Katanya, kedua-dua pemandu kenderaan berat itu kemudian memberhentikan kenderaan mereka di lorong kecemasan.

“Perodua Axia yang dinaiki empat beranak pula sedang menuju ke utara, namun setiba di lokasi kejadian, pemandunya tiba-tiba hilang kawalan sebelum berpusing-pusing dan melanggar belakang treler yang berhenti di lorong kecemasan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kesemua mangsa dikatakan beralamat di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor.

Mohamad Nordin berkata, akibat kemalangan itu, keempat-empat mangsa tersepit di dalam kereta dengan tiga beradik berke­naan disahkan maut di tempat kejadian.

Ujarnya, kedua-dua pemandu treler dan lori pula tidak me­ngalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Sek­syen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Azman Hussin berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.01 petang.

“Setiba di lokasi, bomba mendapati, empat beranak itu telah tersepit di dalam kereta yang remuk dan usaha menyelamatkan mereka segera dijalankan.

“Pasukan kami menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kesemua mangsa.

“Mayat tiga kanak-kanak dise­rahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu kereta yang parah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Berita penuh : https://www.kosmo.com.my/2020/12/17/3-beradik-mati-bersama/