2 lelaki bantu siasatan kes tetak 2 beranak diburu

2 lelaki bantu siasatan kes tetak 2 beranak diburu

2 lelaki bantu siasatan kes tetak 2 beranak diburu. Polis sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes tetak dua beranak menggunakan parang di Taman Jimah Jaya Site C, Chuah, Port Dickson dekat sini, pada 16 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Aidi Sham Mohamed berkata, individu berkenaan ialah V Vithyathran, 32, yang beralamat di Taman Springhill, Rantau dan B Selvam, 21, dari Taman Jaya Lukut, Port Dickson.

Beliau berkata, polis menahan enam lelaki berusia dalam lingkungan 17 hingga 25 tahun antara pukul 4.40 pagi 16 Jan hingga 9.30 malam 18 Jan lepas di sekitar Lukut dan Port Dickson kerana disyaki terlibat dengan kes itu, selain merampas dua motosikal dan sebilah parang yang disyaki digunakan untuk mencederakan mangsa.

“Semakan mendapati lima daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang positif ganja dan ketika kejadian mereka berada dalam keadaan pengaruh alkohol.

“Semua mereka direman selama lapan hari sehingga semalam. Arahan pertuduhan juga dikeluarkan terhadap dua daripada mereka dan seorang masih bebas manakala empat yang lain dijadikan saksi pendakwaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Aidi Sham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

2 lelaki bantu siasatan kes tetak 2 beranak diburu

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.43 pagi pada 16 Jan lepas, seorang lelaki berusia 46 tahun dan anak lelakinya, 16, dilaporkan cedera parah di bahagian badan dan tangan akibat diserang sekumpulan lelaki bermotosikal.

Aidi Sham berkata, mereka juga merosakkan kenderaan milik keluarga mangsa dengan memecahkan cermin kereta dan tingkap sebelum melarikan diri.