2 beranak dibelasah, jari kaki hampir putus akibat pulas telinga remaja bising

2 beranak dibelasah, jari kaki hampir putus akibat pulas telinga remaja bising

2 beranak dibelasah, jari kaki hampir putus akibat pulas telinga remaja bising. Seorang pesara cedera, manakala anaknya hampir putus jari kelingking kaki akibat dipukul bapa saudara seorang remaja dan rakannya selepas dipulas telinga kerana membuat bising semasa menunggang motosikal di Kampung Wakaf, Pasir Puteh.

2 beranak dibelasah, jari kaki hampir putus akibat pulas telinga remaja bising

Dalam kejadian 5.15 petang semalam, Mohammad Abdullah, 55, cedera ringan di seluruh badan, manakala anaknya, Muhammad Badrul Amin, 22, hampir putus jari kelingking kaki, cedera pada jari dan seluruh badan akibat dipukul dengan kayu, besi serta parang.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Ediansha Endal berkata siasatan awal mendapati Mohammad memulas telinga anak saudara seorang suspek itu kerana berang dengan tindakan remaja terbabit menunggang motosikal sambil membuat bising di hadapan rumahnya.

Katanya, remaja berusia 14 tahun itu kemudiannya mengadu kepada bapa saudaranya yang bernama “Abe Ja”, sebelum dia bersama rakan-rakannya ke rumah mangsa.

“Semasa mangsa dan anaknya turun dari kereta, mereka melihat beberapa lelaki dalam keadaan marah di hadapan rumah. Kumpulan lelaki itu terus menyerang dua beranak itu menggunakan kayu, besi dan parang.

“Berdasarkan maklumat mangsa, dia tidak mengenali semua suspek yang memukulnya kerana mereka dipercayai bukan berasal dari kampung tersebut,” katanya menurut laporan Kosmo.

Ediansha berkata, Badrul dikejarkan ke Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh, sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian kerana jari kelingkingnya yang hampir putus akibat ditetak perlu dipasang besi.

Susulan itu, katanya, polis menahan remaja terbabit dan rakannya berusia 17 tahun di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh.

“Empat suspek berusia 29 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat memukul mangsa dan anak lelakinya sudah dikenal pasti identiti mereka dan diminta menyerah diri dengan segera.”

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.

 

Turut baca