2 Bayi ‘dijangkiti’ kanser ibu ketika lahir

2 Bayi ‘dijangkiti’ kanser ibu ketika lahir

Satu fenomena perubatan yang jarang berlaku apabila dua bayi di Jepun ‘dijangkiti’ kanser daripada ibu mereka.

Japan Times melaporkan, bayi-bayi terbabit berkemungkinan terhidu sel kanser daripada ibu mereka. Beberapa tahun kemudian, mereka dikesan menghidap kanser paru-paru.

Seorang bayi perlu melalui serviks ibunya ketika proses kelahiran, seterusnya doktor menganggap sel kanser diserap dalam cecair amnion yang meliputi bayi terbabit, seterusnya dihidunya ketika membuka mulut untuk bernafas kali pertama selepas kelahiran.

Kejadian seperti itu amat jarang berlaku dengan kurang 20 kes yang direkodkan malah kanak-kanak terbabit cuma didiagnos masing-masing dua dan 10 tahun kemudian, lapor saintis dalam New England Journal of Medicine yang diterbitkan bulan ini.

Saintis menganggarkan satu dalam 500,000 ibu yang menghidap kanser berkemungkinan ‘memberikan’ penyakit itu kepada bayinya ketika proses kelahiran, lapor Daily Mail.

Dan hanya satu dalam 1,000 ibu mempunyai kanser ketika tempoh kehamilan.

Kanser serviks adalah barah keempat paling biasa dihadapi wanita dan membunuh kira-kira 311,000 golongan itu maut akibatnya di seluruh dunia setiap tahun.

Kes dua kanak-kanak ini adalah kejadian amat jarang berlaku. Sekalipun seorang wanita hamil ketika menghidap kanser, adalah amat jarang untuk bayinya turut terkesan akibat penyakit berkenaan.

Malah, tiada bukti menyeluruh menunjukkan kanser itu ‘dijangkiti’ kepada bayi berkenaan oleh ibu mereka, namun dipercayai berlaku berdasarkan beberapa fakta.

Ini termasuk lokasi kanser ibu terbabit pada pangkal rahim. Lazimnya bayi membesar di dalam rahim dengan diselaputi cecair amnion, dan menyerap oksigen menerusi plasenta serta tali pusat.

Sekalipun sel kanser dari pangkal rahim turut berada dalam cecair amnion, kebarangkalian untuk diserapkan bayi terbabit masih rendah.

Namun, ketika proses kelahiran normal ada sedikit masa membolehkannya menghidu cecair amnion berhampiran serviks seterusnya membolehkan sel tumor berkenaan memasuki paru-paru.

Dalam kedua-dua kes dinyatakan ini, saintis melihat persamaan gen dalam tumor ibu dan anak seterusnya kaitan jelas antaranya. – FMT