15 termasuk penjawat awam terlibat parti liar ditahan

15 termasuk penjawat awam terlibat parti liar ditahan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 individu termasuk lima penjawat awam yang sedang berhibur di sebuah kondominium dekat Bukit Bintang, di sini awal pagi tadi ditahan polis.

Serbuan kira-kira pukul 4 pagi itu menyaksikkan sebanyak 12 daripada mereka ditahan termasuk semua penjawat awam didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, mereka yang ditahan terdiri lapan wanita dan tujuh lelaki berusia antara 20 tahun hingga 40 tahun.

Katanya, kumpulan terbabit dikatakan menempah sebuah unit kondominium di Jalan Raja Chulan di sini sebelum berhibur sejak pukul 2 petang.

“Hasil siasatan lanjut mendapati, parti liar ini diadakan bagi menyambut hari lahir seorang suspek yang juga ditahan tetapi mereka terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Salah seorang suspek yang juga penganjur parti menjemput rakan melalui aplikasi WhatsApp dan mereka berkongsi duit membayar sewa sebanyak RM1,100 sehari, termasuk deposit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zainal, pihaknya percaya dadah yang digunakan mereka semasa berhibur ialah jus campuran yang siap dibancuh dengan bahan terlarang itu.

“Kesemua mereka ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Sumber : https://www.utusan.com.my/nasional/2020/12/15-termasuk-penjawat-awam-terlibat-parti-liar-ditahan/