15 peniaga, pemborong dikompaun jual ayam mahal di Terengganu

15 peniaga, pemborong dikompaun jual ayam mahal di Terengganu

15 peniaga, pemborong dikompaun jual ayam mahal di Terengganu.

Seramai 15 peniaga termasuk tiga pemborong dikenakan kompaun bernilai keseluruhan RM9,000 gara-gara menjual ayam segar melebihi harga RM8.90 yang ditetapkan.

Orang ramai perlu bijak berbelanja dan menggunakan hak mereka sebagai pengguna termasuk membuat aduan jika wujud unsur-unsur pencatutan ayam.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, jumlah itu direkodkan dalam tempoh tiga bulan sejak Mac lalu hingga kini.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan kesemua 12 peniaga termasuk dua pemborong itu dikesan di Kuala Terengganu diikuti baki seorang lagi di Besut.

“Jadi, saya minta orang ramai bijak berbelanja dan menggunakan hak mereka sebagai pengguna termasuk membuat aduan jika wujud unsur-unsur pencatutan,” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan harga ayam yang dijual di pasar-pasar sekitar daerah ini melambung antara RM12 hingga RM14 sekilogram akibat kekurangan bekalan.

Seorang peniaga di Pasar Chabang Tiga, Wali Ridzuan Hudin Abdul Manan, 36, berkata, harga itu dijangka terus meningkat berikutan situasi semasa yang didakwanya makin kritikal.

Katanya, rata-rata peniaga terpaksa menjual pada harga mahal susulan kos dikenakan pembekal yang berterusan naik termasuk kelmarin meningkat lagi 30 sen.

Sementara itu, Saharuddin berkata, dalam tempoh sama, sebanyak lima kes dikesan melibatkan penjualan ayam secara borong tanpa lesen sah diikuti dua kes kegagalan mengemukakan rekod transaksi jualan.

“Keseluruhan kesalahan berkaitan ayam yang dikenal pasti sejak Mac hingga kini ialah sebanyak 22 kes,” katanya.