Pemandu bas ekspres terlelap sebelum nahas

Pemandu bas ekspres terlelap sebelum nahas

Pemandu bas ekpres yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 265.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora di sini hari ini, dipercayai terlelap ketika memandu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi itu, seramai 14 penumpang bas yang dalam perjalanan dari Kulim, Kedah ke Kuala Lumpur cedera dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, siasatan pihaknya mendapati, nahas berlaku apabila lelaki berusia 39 tahun itu terlelap seketika dan menyebabkan bas dipandunya hilang kawalan lalu terbabas.

Katanya, pemeriksaan mendapati lelaki terbabit mempunyai 19 rekod saman lampau membabitkan kesalahan trafik.

“Pemandu bas terbabit cedera ringan di kaki dan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan ke atas bas itu juga mendapati, kenderaan tersebut turut memiliki tiga rekod lampau saman trafik,” katanya di sini hari ini.

Keadaan salah seorang penumpang yang cedera.

Menurut beliau, siasatan mendapati, bas ekpres tersebut terbabas sendiri ketika menuruni bukit di jalan selekoh sebelum jatuh ke longkang di sebelah kiri jalan.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan 14 penumpang berusia antara 14 hingga 59 tahun cedera di beberapa bahagian badan.

“Seorang penumpang wanita mengalami kecederaan parah di pinggang dan seorang penumpang lelaki warga Indonesia pula parah di kepala.

“Kesemua mereka yang cedera dihantar ke HRPB untuk rawatan kecemasan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.. -K! ONLINE