13 polis Afghanistan dibunuh Taliban

13 polis Afghanistan dibunuh Taliban

KUNDUZ: Sekurang-kurangnya 13 anggota polis Afghanistan terbunuh dalam serangan militan Taliban di dua pusat pemeriksaan di utara negara itu semalam.

Anggota militan menyerbu dan menawan seketika pos pemeriksaan di pinggir bandar Pule Khumri, ibu kota wilayah Baghlan utara, menurut pegawai.

Pengarah hospital, Ainuddin Sayad, berkata mangsa yang maut sudah dibawa ke hospital manakala lima lagi yang cedera sedang menerima rawatan.

Jurucakap polis wilayah, Ahmad Jawed Basharat mengesahkan serangan itu.

Taliban mengaku bertanggungjawab atas serangan terbaru itu, dalam siri gelombang keganasan yang menggegarkan negara itu sejak beberapa minggu lalu.

Dalam satu lagi kejadian berasingan hari ini, lima anggota keselamatan dan 17 militan Taliban terbunuh ketika pasukan keselamatan melakukan serangan di wilayah selatan Uruzgan, kata seorang lagi pegawai.

Keganasan meningkat di beberapa wilayah Afghanistan biarpun ketika ini Taliban dan pemerintah Afghanistan melakukan rundingan damai untuk mengakhiri perang.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2020/12/765808/taliban-bunuh-13-polis-afghanistan