Dua maut, manakala tiga lagi parah selepas sebahagian struktur binaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) runtuh lalu menghempap sebuah van kilang yang dinaiki lima individu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 6 petang tadi membabitkan sebuah lori membawa jengkaut yang melanggar binaan SUKE berhadapan Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.

Katanya, mayat dan mangsa cedera dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM di Cheras.

“Pemandu lelaki dan dua penumpang wanita cedera, manakala dua lagi penumpang wanita meninggal dunia,” katanya di tempat kejadian.

Pasukan bomba dan penyelamat mengambil empat jam untuk mengeluarkan semua mangsa.

Bernama melaporkan mangsa pertama dikeluarkan kira-kira 9.07 malam, diikuti mangsa kedua lapan minit kemudian dan baki tiga lagi mangsa pada 9.29 malam.

Sementara itu, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd yang merupakan pemegang konsesi SUKE dalam kenyataan mengesahkan sebuah lori treler yang membawa lebih muatan melanggar perencah besi binaan lebuh raya itu.

Katanya, lori treler itu tidak terbabit dalam pembinaan lebuh raya berkenaan dan kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. | FMT