101 peratus yakin suara itu tulen – Annuar

101 peratus yakin suara itu tulen – Annuar

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan supaya membuat pengakuan bersumpah di masjid bagi menafikan perbualan audio telefon yang tular.

Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, mungkin cara sedemikian boleh dilakukan bagi menafikan pembabitan mereka dalam perbualan tular itu.

“Saya cuba mendengarnya malam tadi berkali-kali dan sebagai orang yang amat dekat dan rapat dengan kedua-dua mereka, saya yakin 101 peratus itu adalah suara tulen.

“Pengecaman suara itu bukanlah menjadi terlalu rumit malah, suara orang berlakon dengan suara sebenar itu saya boleh cam,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kerangka Dasar Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030), di sini hari ini.

Justeru, katanya, beliau mahu kedua-dua pemimpin parti itu jujur dan hendaklah berani serta harus memberi penjelasan sebenar bukannya menafikan dan cuba menuduh orang lain pula. -K! ONLINE