1,000 penduduk guna air bukit

1,000 penduduk guna air bukit

BALING: Hampir 1,000 penduduk di tiga buah kampung di sini terpaksa mendapatkan bekalan air yang disalurkan dari bukit berhampiran untuk kegunaan harian berikutan gangguan bekalan air bersih daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA) berlarutan sejak tahun 1990-an lagi.

Tiga buah kampung terlibat ialah Kampung Teluk Sanau, Kampung Batu Tujuh dan Charuk Juan.

Setiausaha Bekalan Air Masyarakat, Amiruddin Salleh, 37, berkata, walaupun paip dan meter bekalan air bersih dipasang oleh SADA di rumah penduduk namun mereka tidak bekalan air.

“Oleh itu, penduduk kampung mengambil inisiatif membina takungan air di atas bukit dan membina telaga tiub air boring untuk mendapatkan bekalan air bersih,” katanya,

Amiruddin berkata, sebanyak 28 gelung paip air digunakan untuk menyalurkan dari takungan atas bukit ke rumah-rumah penduduk sejauh kira-kira satu kilometer untuk sampai ke rumah penduduk kampung.

“Bagaimanapun, katanya, aktiviti pembalakan di kawasan takungan air menyebabkan bekalan air masyarakat yang mereka bina itu tercemar.

“Penduduk meminta kerajaan negeri membantu mereka mengatasi masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan seharian ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak Perantau Baling, Datuk Ir. Manaf Hanafi, berkata, persatuan mengambil inisiatif membantu penduduk di tiga kampung itu dengan menyediakan saluran paip air untuk disalurkan ke 200 rumah penduduk terlibat.

“Persatuan ini bersimpati dengan masalah bekalan air bersih yang dihadapi oleh penduduk kampung ini dan akan membantu menyediakan keperluan paip air untuk disalurkan dari takungan atas bukit,” katanya.

Tambahnya bantuan itu diharapkan dapat meringankan beban penduduk mendapatkan bekalan air untuk kegunaan mereka,” katanya.

Sumber : https://www.utusan.com.my/berita/2020/12/1000-penduduk-guna-air-bukit/?fbclid=IwAR2NzfFEflTFJINyn5seLdrR-IkhO8ti2Qq6nteqeH9I00lIkQgHkxz3h5g