1 Julai 2022 : Bermulalah hari yang sukar buat semua

1 Julai 2022 : Bermulalah hari yang sukar buat semua.
MEMASUKI 1 Julai bermakna rakyat Malaysia akan menempuh fasa keperitan ekonomi yang lebih mencabar berbanding sebelum ini.
Ini susulan pemansuhan beberapa subsidi bermula 1 Julai sekali gus menyumbang pada peningkatan harga barangan asas.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk memansuhkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram (kg) bermula 1 Julai berikutan banyak berlaku penyelewengan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penyelewengan subsidi minyak tersebut banyak dilakukan pihak industri, komersial dan ia juga lebih mudah untuk diseludup.
Malah katanya, pelaksanaan subsidi minyak masak tulen botol yang bermula Ogos tahun lalu itu juga bersifat sementara bagi membantu meringankan beban rakyat susulan pandemik Covid-19.
Rentetan itu, rakyat Malaysia dijangka terpaksa berdepan sekurang-kurangnya 40 peratus kenaikan harga minyak masak.
Perkara itu diakui oleh Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin menerusi satu portal media yang memaklumkan minyak masak botol di pasar rayanya turut mengalami kenaikan harga bermula 1 Julai.
Misalnya, minyak masak botol jenama Seri Murni akan dijual pada harga RM42.70 dengan kenaikan sebanyak 44 peratus, Buruh pada RM42.60 (43.5 peratus), Alif pada RM42.50 (43 peratus), Vesawit pada RM42.25 (42.5 peratus) dan Saji pada RM42.20 (42 peratus).
Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menetapkan harga siling ayam standard pada kadar RM9.40 per kilogram di Semenanjung Malaysia manakala harga siling runcit telur ayam ditetapkan pada kadar 45 sen sebiji bagi gred A, gred B (43 sen) dan gred C (41 sen) di Semenanjung Malaysia dengan kedua-dua harga siling itu berkuat kuasa pada Jumaat.
Difahamkan juga, orang ramai mula membuat pembelian panik barangan basah seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran sejak seminggu lalu kerana bimbang dengan peningkatan harga yang dijangka naik melambung bermula bulan ini.
Situasi ini pastinya akan menambahkan lagi tekanan dan beban sedia ada yang dihadapi rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) yang terpaksa berdepan kos sara hidup lebih tinggi selepas ini.
Ini adalah tempoh masa yang sukar buat semua.
Justeru, dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, berbelanja secara bijak adalah amalan yang mesti dilakukan ketika ini, dahulukan keperluan sebelum kemahuan.